23.5.12

I No Stupid!

Menjadi seorang kerani dengan pendapatan di bawah kadar kemiskinan selalu membuatkan saya terfikir, “adakah aku seorang yang bodoh?”.

Saya mencari-cari maksud ‘pintar’ atau ‘pandai’ yang sebenarnya dan saya dapati tiada maksud khusus bagi apa yang dinamakan kepintaran ini.

Saya ambil contoh anak saudara saya (saya elakkan mengambil diri sendiri sebagai contoh atas sebab maruah dan ego yang menggunung) yang masih belajar. Seorang adalah si kakak, seorang yang selalu kita katakan sebagai ‘pintar’ – belajar di luar negara dan sebagainya – dan seorang lagi si adik, apa yang kita namakan sebagai ‘bodoh’ kerana gagal dalam SPM.

Saya dapati kepintaran mereka berdua tiada bezanya. Ya, mungkin sahaja saya dapati yang si kakak itu lebih banyak buku yang dibacanya, lebih matang percakapannya dan lebih luas pengetahuan amnya, tetapi si adik itu tidak kurang juga hebatnya. Dia merupakan seorang pemain gitar yang cekap, seorang mekanik yang handal dan pengetahuan am yang boleh dibanggakan juga. Cuma yang membezakan meraka adalah seorang lulusan luar negara dan seorang lagi kandas SPM!

Jadi adakah tinggi pengetahuan am itu pintar? Saya rasa mungkin itu boleh kita panggil banyak menghafal.  Bagaimana dengan banyak menghafal pula? Saya rasa itu dipanggil kuat memori. Bagaimana pula dengan kepintaran menyelesaikan masalah? Itu sama sahaja dengan mempunyai IQ yang tinggi. Cepat belajar? Itu kerana dia cepat faham. Cepat faham? Itu kerana tumpuannya tinggi. Dan semua perkara ini boleh dicapai dengan latihan dan kerajinan. Jadi mungkin sahaja pintar itu tidak lebih maksudnya daripada kerajinan dan latihan.

Mengikut dictionary.com, intelligent itu didefinasikan sebagai mempunyai pemahaman yang bagus, cepat bertindakbalas dan cepat memahami. Clever pula didefinasikan sebagai minda yang cergas dan tajam, mempunyai skill dan seorang yang original.

Jadi adakah mempunyai satu ciri yang disebut itu menjadikan kita pintar? Jadi ini bermakna SEMUA orang adalah pintar! Si A mungkin malas bersekolah, tetapi pintar dalam menyelesaikan masalah. Si B pula mungkin mempunyai memori yang kuat membuatkan dia kelihatan pintar di sekolahnya tetapi sangat tidak pandai membuat keputusan dan si C pula mungkin cepat dalam tindakbalas tetapi sangat tidak pandai menggunakan skill yang dia ada. Malah orang kampung di pedalaman yang tiada akses kemudahan awam juga saya kira sangat pintar kerana kepandaian mereka dalam ilmu-ilmu rimba, ilmu survival dan ilmu pokok dan herba.

Jadi saya mengurut dada kelegaan. Nampaknya semua orang adalah dilahirkan pintar. Cuma sesetengah kepintaran itu tidak diiktiraf masyarakat sebagai pintar. Mereka hanya melihat kepintaran itu dari sudut yang sangat sempit sehingga mereka ciptakan pula satu istilah yang dipanggil ‘bodoh’.

Bagaimana pula jika kita tidak bersetuju dengan penyataan di atas? Baiklah, bagaimana pula jika saya kecilkan skop orang pintar itu tadi?  Bagaimana jikalau kita ambil SEMUA ciri yang diberi oleh
dictionary.com tadi untuk menilai kepintaran seseorang? Mengikut maksud yang diberi, kita katakan yang seorang yang pintar itu ialah orang yang mempunyai minda yang cergas dan tajam,  mempunyai skill yang tinggi, original, mempunyai pemahaman yang bagus, cepat bertindakbalas dan cepat memahami.

Cuma yang menjadi masalahnya, itu bukan orang pintar, tetapi orang SEMPURNA!

Bagaimana pula kata Nabi Allah kesayangan kita Muhammad? Ah, nampaknya konsep kepintaran yang ditunjukkan oleh baginda berlainan sekali.

Baginda bersabda yang bermaksud: ”Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah.” [Riwayat at-Tirmidzi]

Nampaknya saya belum boleh mengurut dada kelegaan lagi!

2 comments:

  1. encik kerani, nasib baik anak sedare yg sorang lagi tu x bace..anak sedare yg ni xpe..n nasib baik jgk ckp sume pintar2 belake..hehehe..teruskn menulis encik kerani..suka bace sbb byk input2 menarik..

    ReplyDelete
  2. dia baca pun takpe. kerana paklang guna teknik yang dipanggil 'compliment-in-disguise'. haha.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...