23.5.12

Membudayakan Debat

Ketika saya remaja dahulu, saya selalu menganggap debat ialah satu medium meluahkan pendapat yang tidak adil. Apa tidaknya, ketika ada sahaja pertandingan debat, saya dapati tajuk yang diberikan sangat berat sebelah. Tajuk-tajuk yang biasanya kita dengar boleh jadi seperti 'Keburukan internet', 'Keburukan menonton TV' dan sebagainya.

Jika pendebat itu mendapat tajuk yang baik, mungkin itu tidak ada masalah baginya. Tetapi bagi contoh yang ekstrem, seperti tajuk 'Kesusutan tanah rezab melayu', dan terpaksa pula menjadi pihak kerajaan, agak susah juga untuk menegakkan benang basah. Ya, mungkin markah juga diambil dari segi kepetahan berbicara dan selain daripada isi yang bernas, tetapi jika awal-awal lagi tajuk sudah tidak menyebelahi kita, parah juga.

Tetapi sekarang, apabila sudah tua, ketika mata pun sudah semakin celik dan mulut pun sudah semakin banyak menyumpah, saya dapati debat ialah satu medium pencerahan minda yang amat efektif sekali.

Tidak seperti persepsi saya ketika muda dahulu, rupa-rupanya debat sebenarnya tidak memerlukan kita diundi untuk menjadi penyokong atau pembangkang atas sesuatu tajuk atau isu kerana awal-awal lagi kita memang menyokong atau membangkang sesuatu isu itu. Kerana itulah diadakan debat!

Ketika inilah kita dapat lihat pihak manakah yang benar, pihak manakah yang cuba bersikap benar, pihak manakah yang lebih lebih telus, pihak manakah yang hanya bercakap soal telus dan lebih penting lagi, kita akan dapat lihat pihak manakah yang mempunyai aura yang lebih kuat untuk menjadi pemimpin, yang lebih petah percakapannya, lebih lancar tuturnya dan lebih tenang perawakannya.

Jadi, saya sangat berharap yang aktiviti debat ini akan menjadi budaya kita. Semoga TV dan radio kita lebih terbuka dalam hal ini.

Cuma yang menjadi keraguan saya ialah keberkesanan debat untuk menarik pihak ketiga iaitu pihak atas pagar untuk mula menyokong atau mula membangkang sesuatu isu itu. Begitu juga keberkesanan debat untuk menarik penyokong isu yang salah kembali ke pihak yang benar. Namun begitu, sekurang-kurangnya ia terbukti menambahkan keyakinan pihak yang menyokong dan membangkang dan sedikit sebanyak memberi ilmu kepada rakyat marhaen seperti saya.

Berdebat ialah perkara yang sukar, jadi saya menghormati mana-mana pemimpin yang berani tampil untuk berdebat. Jangan cela meraka yang berani tampil walau dari pihak mana mereka sekalipun kerana kita mahu menyemarakkan program debat ini kerana saya yakin, ia adalah satu bentuk pencerahan minda yang sangat efektif sekali!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...