6.3.12

Harun Yahya : Keabadian Baru Bermula

KETIKA filem The Matrix menjadi suatu kegilaan suatu ketika dulu, antara kata-kata yang menjadi kegemaran kami peminat filem itu ialah, “Bagaimana kamu tafsirkan realiti?” yang diucapkan oleh Morpheus. Saya tidak mahu membincangkan tentang simbolisme Kristian dalam filem itu kerana sudah hangat diperkatakan suatu ketika dahulu.

Kata Morpheus lagi, “Jika realiti itu apa yang kita sentuh, hidu, rasa dan lihat, maka ‘realiti’ itu tidak lebih daripada isyarat elektrik yang ditafsirkan oleh otak kita.”

Sudah tentu saya tidak pernah menganggap kita hidup dalam dunia matrix yang hanya terdiri daripada kod-kod atucara semata-mata dan sudah tentu saya tidak bersetuju dengan filem itu. Tetapi bagaimana pula idea dasar filem itu? Yang hidup ini hanyalah sebuah mimpi? Bagaimana pula dari sudut pandangan Islam? Adakah Islam juga mentafsirkan realiti sebagai tidak lebih daripada isyarat elektrik yang ditafsirkan oleh otak?

Adakah kita sekarang sedang ‘tidur’ dan akan ‘dibangunkan’ di padang masyar kelak? Adakah sekarang kita sedang bermimpi? Mimpi yang kita boleh sentuh, hidu, dengar, rasa dan lihat? Pernahkah kita bermimpi sesuatu yang begitu ‘real’ hinggakan jika mimpi itu sedih, airmata kita tetap mengalir walaupun kita sudah terjaga?

Kita hidup dalam sebuah kehidupan yang dikekang oleh logik. Logik ini terlalu sempurna sehinggakan kita sendiri mengatakan yang logik adalah asas segala apa yang kita panggil sebagai realiti. Atas sebab inilah ramai orang tidak dapat menerima perkara yang dianggapnya luar dari logik akal.

Antaranya ialah peristiwa isra’ dan mi’raj. Alam roh. Alam barzarkh. Bahkan walaupun kita percaya tentang kebangkita alam masyar dan hari akhirat. Ramai juga yang masih sukar mempercayai yang kita dibangkitkan kelak dalam bentuk fizikal kerana alasannya ialah - seperti yang dinyatakan - tidak logik! “Bagaimana mungkin manusia akan dibangkitkan berjalan dengan muka?” kata mereka.

Ketika ini, hanya iman yang membezakan kita. Kita terlalu selesa dengan logik hingga kita seolah-olah ingin menyandarkan rukum iman kita kepada logik. Lupakah kita yang logik itu juga makhluk Allah? Masa itu juga makhluk Allah? Begitu juga dengan jarak, deria, realiti. Semuanya makhluk Allah. Jadi tidak susah bagi-Nya untuk menukar, menghapuskan atau membengkokkannya sesuai dengan kehendak-Nya.

Logik di dunia ini, manusia berjalan dengan kaki, ular berjalan dengan badan. Jadi tidak ada apa yang mustahil jika logik di akhirat kelak ialah, manusia beriman berjalan atau berkenderaan, manusia kufur berjalan dengan muka.

Berbalik kepada kisah mimpi tadi, apa yang saya boleh katakan adalah, benar sekali kata-kata ilmuan yang mengatakan hidup ini ibarat mimpi. Malah ada yang mengatakan hidup ini bukannya 'ibarat’ mimpi, tetapi sememangnya sebuah mimpi yang menggunakan logik sebagai pengekang. Sebab itu Allah SWT ulang banyak kali dalam Al Quran dengan maksud, "Dan akhirat itu lebih baik dan kekal." Tanggungjawab kita adalah untuk berusaha supaya kita ‘bangun’ kelak dalam keadaan beriman, bukannya dalam kesesatan.

Saya teringat kata seorang ustaz, “Kita akan melupakan kehidupan di alam dunia ini ketika kita di alam barzakh sebagaimana kita melupakan alam rahim ketika berada di dunia...”

Saya terjumpa sebuah buku karangan Harun Yahya ketika mencari-cari artikel rambang di internet. Saya sudah biasa mendengar nama Harun Yahya atau nama sebenarnya Adnan Oktar ini terutamanya teori konspirasinya. Tetapi saya tidak pernah teruja untuk membaca tulisannya. Namun ketika membaca sinopsis buku ‘Keabadian Baru Bermula’ karangan beliau, saya berasa begitu tertarik untuk membacanya. Saya belum menjumpai buku ini di mana-mana (sekurangnya di Terengganu) tetapi saya akan tetap mencarinya kerana buku ini dengan menarik membincangkan konsep logik, realiti, infinity dan keabadian.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...