28.2.12

Adakah kotor itu najis?

MUNGKIN saya memang seorang yang selekeh kerana saya tidak kisah untuk malabuhkan punggung di mana-mana sahaja ketika penat samada atas tanah yang berdebu, besi yang berkarat atau tong berbau petrol.

"Boleh ke (sikap) kau macam ni? Lepas duduk kat tempat kotor, dengar je azan Zohor terus ke surau, solat," kata seorang rakan saya pada suatu hari. Beliau merupakan seorang Penolong Pegawai di JAKIM.

Saya terus menjawab, "Apa salahnya? Walaupun semua najis itu kotor, tidak semua kekotoran itu najis."

Kemudian kami terus berdebat mempertahankan hujah masing-masing. Dia dengan hujahnya yang mengatakan lebih baik menukar baju bersih dahulu sebelum bersolat dan saya dengan hujah saya yang mengatakan 'kotor itu subjektif dan tidak najis'.

Ketika remaja dahulu, ada seorang rakan yang berfikiran gila-gila pernah mengatakan kepada saya yang makanan yang kita makan adalah kotor.

"Cuba kau tengok, apabila ada makanan yang SEDANG kita makan terjatuh atas baju, maka kita terus mengatakan 'ah, bajuku sudah kotor!' Nah, bukankah itu maknanya makanan itu kotor?" katanya padaku sambil berjenaka. Saya terus mengiyakannya sambil ketawa. Namun sekarang saya sudah melihat lawak beliau itu dari sudut yang berlainan. Ini yang saya lihat sebagai 'kekotoran yang diciptakan budaya'. Setiap budaya dan adat ada definisi kekotorannya tersendiri.

Sebagai contoh, bagi orang melayu, bersolat dengan kasut atau selipar adalah kotor tetapi bagi orang arab, itu adalah biasa. Bagi orang cina, makan dengan tangan adalah jijik tetapi bagi orang melayu dan india, itu adalah biasa. Bagi orang bandar, sungai di kampung adalah kotor kerana airnya yang keruh dan berlumut manakala bagi orang kampung, kolam renang di bandar adalah kotor kerana airnya tidak mengalir.

Ada suatu riwayat menceritakan bagaimana pada zaman rasulullah dahulu, baginda melepaskan capal di kaki baginda ketika solat menyebabkan semua sahabat turut sama berbuat perkara yang sama. Selesai solat, baginda bertanya sahabat kenapa mereka membuka selipar mereka. Jawab sahabat, "kerana kami melihat kau membuka seliparmu, ya rasulullah. Kami fikir tentu ada wahyu yang menegahmu memakai selipar ketika solat." Namun rasulullah hanya menjawab, "tidak, aku melepaskan capalku kerana jibril telah datang kepadaku dan memberitahu adanya najis pada capalku."

Jadi, jika sudah terbukti tiada najis pada kasut kita, adakah boleh kita bersolat dengan memakai kasut? Sudah tentu boleh, tetapi bolehkah kita berkasut ketika bersolat di masjid kita? Sudah tentu tidak boleh, kerana adat dan budaya kita tidak membenarkannya.

Namun bagaimana pula jika bersolat di luar masjid? Saya masih ingat ketika perhimpunan Bersih 2.0 tempohari, seorang rakan pernah mengkritik apabila dia melihat sekumpulan manusia yang bersolat dengan memakai kasut. Terus dituduh wahabi, syiah dan sebagainya.

"Apa salahnya?" soal saya.

"Salahlah. Solat pakai kasut. Kasut tu kan kotor," pantas sahaja dia menjawab.

Penat juga saya menerangkan perkara sebenarnya pada beliau.

Sebenarnya ada perkara yang lebih besar lagi apabila berbicara tentang kekotoran ini. Ramai umat islam kita tidak menitik beratkan soal halal haram tetapi sangat menitik beratkan soal kotor ini.

"Alamak, aku tak boleh sembayanglah. Baju aku melekit-lekit ngan peluh. Seluar pun ada minyak gris."

"Alamak macamana nak sembahyang ni. Masjid takde. Takkan nak sembahyang tepi jalan je. Kotornya."

Begitulah biasanya alasan-alasan yang diberikan oleh orang yang malas bersolat. Selalu sahaja alasan tempat dan pakaian yang kotor yang selalu diungkitkan. Bukankah seluruh bumi ini suci dan merupakan tempat sujud kecuali terzahir najis disitu? Seorang ulama' di kelantan pernah berkata, "kalau di bendang sekalipun, dengan seluar yang berlumpur pun boleh solat di atas batas." 

Tetapi jangan lupa, walaupun Islam adalah sebuah cara hidup yang tidak memberatkan. Ia sentiasa menitik beratkan soal najis. Dalilnya adalah satu riwayat ada menceritakan bagaimana nabi telah melaui sebuah perkuburan dan memberitahu sahabat baginda yang dua orang di dalam kubur itu diseksa. Satu disebabkan tidak menjaga air kencingnya dan seorang lagi kerana mengadu domba.

Setitik air kencing pada seluar sudah tentu tidak boleh dibawa solat, namun jangan sesekali mengatakan seluar berlumpur, berminyak dan bergris tidak boleh dibawa solat. Hukum adalah hukum. Adat adalah adat.


Berbalik kepada cerita saya dan rakan saya di Penolong Pegawai Jakim itu tadi, akhirnya kami masing-masing tidak mahu mengalah dan akhirnya beliau terus dengan pendapatnya atas alasan khilaf. Saya tidak nampak akan adanya khilaf di sini kerana saya memang akui yang Islam memang menganjurkan kebersihan dan keindahan. Namun begitu, kita masih boleh bersolat jika pakaian kita kotor namun tidak bernajis.

Tetapi apa yang saya kesali ialah cara perdebatan kami yang agak bising dan kasar sehingga boleh menghilangkan thiqah dari diri masing-masing. Tetapi apakan daya, saya berharap sangat dapat membetulkan persepsi orang melayu kita yang agak jumud dan ortodoks dengan permasalahan ini. Yang masih tidak dapat membezakan antara adat dan hukum, antara kotor dan najis!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...