30.7.11

Takdir atau ujian?

APABILA menonton berita tentang kematian saudara kita, Saudara Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz atau lebih dikenali dengan nama 'Aleesha', hati saya gerun dengan kebesaran Allah. Betapa mudahnya Dia mencabut nyawa manusia dalam keadaan kita masih lagi berkira-kira untuk berpuasa dan beraya. Malah, Mohd Ashraf juga sebenarnya menukar jantinanya kepada wanita untuk memudahkan urusannya belajar dan seterusnya bekerja. Namun kita hanya merancang, Allahlah sebaik-baik perancang.

Saya tidak mahu memberi komen tentang keputusan beliau untuk menukar jantina kerana beliau pun sudah meninggal dunia. Namun apa yang terdetik di hati saya ialah bagaimana seseorang manusia itu begitu mudah tewas dengan cubaan dan ujian Allah.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)
Bagaimana Allah menguji kita?

Jangan kita ingat Allah menguji kita dengan kemiskinan dan kepayahan sahaja. Sebenarnya kita diuji Allah dalam setiap perkara. Jika kita tiada anak, sebenarnya Allah menguji kita adakah kita sabar. Jika kita ADA anak, Allah juga menguji kita adakah kita takbur dengan anak kita dan adakah kita dapat menjaga anak-anak kita dengan sebaiknya.

Jika kita miskin, itu semua orang tahu adalah satu ujian dari Allah. Tetapi jika kita kaya, sedarkah kita itu juga adalah satu ujian dari Allah? Bagaimana kita belanjakan duit itu? Sombongkah kita? Boroskah kita?

Dan dalam kes Saudara Ashraf ini, ketahuilah saudara-saudaraku bahawa kecenderungan songsang jantina juga adalah satu ujian dari Allah. Adakah kita akan mengikut nafsu fitrah yang songsang itu ataupun kita terus bermujahadah untuk terus melawan sifat tersebut.

Namun begitu ramai lupa yang itu juga adalah satu ujian, tetapi terus-terusan mengatakan yang mereka tidak dapat hidup sebagai lelaki sejati kerana Allah kurniakan mereka naluri keperempuanan. Bagi mereka, ujian adalah musibah dalam bentuk banjir, tanah runtuh dan kematian ibu-bapa, bukannya naluri mereka itu. Jadi hanyutlah mereka dalam dunia songsang mereka itu sambil terus menyalahkan takdir.


Selamat menyambut Ramadhan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...