11.7.11

Demostrasi adalah fitrah



"Ayah, nak mainan," kata anak sulungku yang berumur 6 tahun itu.
"Tidak boleh. Mainan di rumah sudah banyak," jawabku pendek sambil terus membelek-belek harga susu. Pengunjung pasaraya pada petang itu agak ramai juga.
"Ayah... bolehlah..."
"Tidak boleh, ayah cakap."
"Ayah... satu sahaja. Lepas ini Akim tak minta lagi." Kali ini dia mula merengek.
"Lain kali boleh tak? Ayah sibuk sekarang ni."
"Ala.. ituhari pun cakap lain kali juga." Matanya mula berair dan bibirnya dijuihkan.
Aku mengerling tajam ke arahnya seolah memberi amaran supaya tidak membuat bising, tetapi nampaknya sudah terlambat kerana dia sudah pun menangis.
"Ish, budak ni. Nak kena cubit?!" AKu mula menggertaknya.
"WAAAAAAAAAAA!" akhirnya suara tangisan si Akim bergema di dalam pasaraya itu. Lebih teruk lagi, dia mula berguling-guling dan apabila ada orang yang menegurnya, tangisannya lebih kuat lagi.
Aku mula rasa malu. Mahu tidak mahu, aku terpaksa memujuknya dan berjanji untuk membelikan mainan yang dikehendakinya. Namun hatiku mula panas. Siaplah balik nanti. Ayah akan rotan!

***

KENAPA Akim menangis dengan kuat dan membuat perangai walaupun dia tahu perkara itu akan memalukan bapanya? Ini kerana sudah banyak kali dia memujuk bapanya untuk membelikan barang permainan kesukaannya namun tidak diendahkan oleh ayahnya. Ini adalah fitrah manusia sejak dari kecil lagi iaitu dia seolah-olah memohon 'backup' dari pengunjung-pengunjung pasaraya yang lain.

Begitu juga dalam mengadakan demostrasi. Mereka terpaksa melakukannya kerana sudah beberapa kali menggunakan saluran yang betul tetapi tidak dilayan. Apa yang dikatakan saluran yang betul bagi rakyat Malaysia? Contohnya jika kita ingin melaporkan kepincangan SPR. Lapor kepada polis? Beritahu media? Parlimen? Tidak. Tidak dan Tidak. Semuanya sudah dikawal dan dikongkong oleh pemerintah. Jadi mahu tidak mahu, seperti juga si Akim tadi, terpaksa membuat demostrasi di jalanan untuk mengharapkan 'backup' dan simpati dari orang lain. Juga dengan cara ini, manalah tahu kalau-kalau pemerintah akan malu (dalam kes Akim, memang ayahnya malu) dan mula membuka telinga.

Dari kisah di atas, kita dapat lihat yang Akim akan dirotan ayahnya apabila dia balik ke rumah nanti. Itu juga adalah fitrah. Akim tahu dia akan menerima akibatnya akibat daripada dia membuat perangai tadi, tetapi dia tetap lakukannya juga asalkan dia dapat apa yang dimintanya.

Begitu juga para demostrator. Walau aman sekalipun, mereka tahu yang mereka akan menerima akibatnya. Namun itu adalah risiko yang sanggup mereka tanggung asalkan suara mereka didengari.

Kerana itu adalah fitrah.

Menyekat demostrasi adalah seolah-olah menyekat fitrah manusia.

2 comments:

  1. Analogi yang sangat bagus! Tapi, agak-agak bila PM kita nak malu dengan demonstrasi jalanan yang pembangkang buat ek? Dia nampak relek je...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...