30.7.11

Syaitan diikat di bulan Ramadhan.

SEMASA kecil dahulu saya selalu tertanya-tanya 'jika syaitan telah diikat pada bulan puasa, kenapa masih ramai lagi orang yang buat jahat pada bulan puasa?'

Banyak versi jawapan yang saya perolehi sehingga kini, tetapi antara yang saya ingat ialah, 'nafsu lebih kuat daripada syaitan' dan 'hanya syaitan yang mengacau orang soleh yang diikat'.

Ketika mendengar kuliah maghrib baru-baru ini, saya mendapat jawapan yang lebih memuaskan hati. Jawapan ustaz muda itu berkenaan syaitan ada terdapat dalam surah An-Naas.

(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. - Annaas:06

Jadi sebenarnya, syaitan ini terdiri dari kalangan jin dan manusia. Kita sudah tahu sifat-sifat syaitan dari kalangan jin. Dan kita juga tahu mereka diikat pada bulan Ramadhan. Jadi bagaimana dengan syaitan dari kalangan manusia? Bagaimana mahu mengenali mereka? Adakah mereka juga diikat?

Mengikut ustaz muda yang memberi kuliah maghrib itu, ada beberapa cara kita mengenali syaitan dari kalangan manusia. Tetapi beliau hanya sempat memberikan kepada jemaah tiga sahaja. Namun, sedikit sebanyak sudah dapat memberikan gambaran kasar dan klu kepada kita tentang sifat syaitan manusia ini. Antaranya ialah :

1) Orang yang menghalang orang lain solat / Berjalan depan orang solat.
2) Orang yang tidak menegur perkara mungkar. (Syaitan bisu)
3) Orang yang menganjurkan hiburan dan perkara haram.

Saya rasa banyak lagi sifat-sifat syaitan manusia ini, namun yang terbaik adalah dengan menghindarkan sifat-sifat mazmumah pada bulan Ramadhan ini kerana kita tidak tahu samada kita telah menjadi syaitan manusia tanpa disedari.

Kerana pada bulan Ramadhan yang mulia ini, kita hanya ada dua pilihan : menjadi mukmin sejati atau menjadi SYAITAN!

Dari 'Aisyah r.a., katanya: Saya pernah bertanya dengan berkata: "Ya Rasulullah, Bagaimana kiranya saya mengetahui akan malam Lailatulqadar itu dengan tepat, apa yang saya akan doakan pada saat itu?" "Baginda menjawab: "Berdoalah dengan doa yang berikut:
 
اللهم انك عفو تحب العفو فاعف عني

Maksud doa yang tersebut: "Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan (salah silap hamba-hamba-Mu), lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku."

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...