27.6.11

Kisah Dulu-Dulu

"BAYANGKAN kita ada biji sawi setinggi gunung dan setiap seribu tahun, akan ada seekor burung yang akan makan sebiji daripada biji sawi itu." Ustaz Ghazali berhenti di situ dan memerhatikan para pelajar yang mula diam. Aku memang sentiasa tertunggu-tunggu cerita daripada Ustaz Ghazali. Dia selalu bercerita ketika matapelajaran Pendidikan Islam yang diajarnya itu akan tamat beberapa minit lagi. Ceritanya selalunya pendek, tetapi sarat dengan pengajaran. Aku memerhatikan Mizan dan Herman di sebelahku sudah mula diam. Tengahari sebegini, kelas 5 Kejora memang panas walaupun tombol kipas sudah dipulas maksimum.
 
Setelah memerhatikan seluruh kelas mulai diam, Ustaz Ghazali menyambung, "Jadi adakah akan habis biji sawi jika dimakan oleh burung itu setiap seribu tahun?"

Pelajar-pelajar kelas 5 Kejora mula berbisik sesama sendiri. Mula-mula bisikan itu perlahan seperti lebah di sarang, kemudian ia menjadi semakin kuat disertai dengan jawapan-jawapan tidak rasmi sesama sendiri berbunyi 'habis' dan 'tidak habis'. Aku hanya mendiamkan diri. Aku tahu, Ustaz Ghazali akan menjawab persoalan itu sebentar lagi, tetapi dalam hatiku, aku tetap merasakan yang biji sawi itu tidak akan habis. Seribu tahun setiap biji? Berapa juta biliion trilion tahun mahu dihabiskan?

Akhirnya Ustaz Ghazali memberi jawapan. Mungkin kerana sudah tidak tahan dengan kelas yang sudah semakin bising atau mungkin kerana masa Pendidikan Islam hari itu sudah hampir tamat. "Akan habis!" katanya dengan agak kuat sambil tersenyum. Matanya galak memandang pelajar-pelajarnya.

Aku tidak dapat menahan diri daripada bertanya, "Bila akan habis tu, Ustaz?"

"Bila-bila sahaja," pantas sahaja Ustaz menjawab. "Mungkin satu trilion tahun. Mungkin sejuta trilion tahun. Tetapi apa yang pasti, ia tetap akan habis."

Mulut rakan-rakanku mula ternganga. Aku juga turut memasang telinga menunggu apa yang cuba disampaikan oleh Ustaz.

Tanpa menunggu lama, Ustaz Ghazali mula meneruskan ceritanya. "Begitulah perumpaan kita dan negeri akhirat nanti. Akhirat adalah satu tempat yang kekal abadi. Jika kita diberi masa di akhirat nanti dengan masa satu gunung biji sawi, masa itu tetap akan berakhir. Memang sangat lama. Tersangat lama. Tetapi lambat laun ia tetap akan berakhir. Namun tidak di akhirat. Kita akan kekal abadi. Jadi bayangkanlah jika kita masuk neraka selama-lamanya. Adakah kita akan masih berharap untuk keluar? Adakah kita akan masih menunggu ia akan berakhir? Tidak."

Ustaz Ghazali menelan air liurnya. Kali ini dia benar-benar mencuri tumpuan pelajar-pelajar kelas 5 Kejora. "Begitu juga jika kita masuk ke syurga. Tiada lagi kerisauan dan ketakutan ia akan berakhir seperti mana takutnya kita akan kematian di dunia ini kerana kita akan hidup selama-lamanya. Bukan seribu tahun. Bukan seribu juta tahun. Tetapi selama-lamanya."

"Jadi, pilihlah untuk menjadi ahli syurga," akhiri Ustaz Ghazali.

Sebelum kami pulang ke rumah masing-masing pada setiap hari, kami diwajibkan solat berjemaah di surau sekolah. Namun kebiasaannya hanya beberapa kerat sahaja pelajar yang hadir.

Tengahari itu, kedatangan jemaah adalah luar biasa ramainya dan kebanyakan mereka adalah pelajar kelasku.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...