2.4.15



Fokus. Dedikasi. Obsesi. Bagi saya, semua perkataan itu sama saja. Dan saya dapati perkataan-perkataan itulah yang tiada dalam hidup saya. Betapa malangnya saya.
                Saya selalu terfikirkan, ‘adakah bagus mempunyai banyak kelebihan yang sederhana atau mempunyai satu kelebihan yang luarbiasa?’. Jawapannya sudah tentu yang kedua, dan saya memang akui perkara itu. Untuk mempunyai beberapa kelebihan yang biasa, tidak banyak usaha yang diperlukan. Sekadar minat yang lebih sedikit daripada orang lain dan latihan sekadar yang mampu. Tidak perlu berusaha keras. Tidak perlu keringat darah.
                Mempunyai satu kelebihan yang luarbiasa pula, well… sangatlah luarbiasa. Chong Wei dikenali dengan badminton. Khairul Fahmi dikenali dengan bola sepak. Irfan Khairi dikenali dengan duit. Ramli Awang Murshid dikenali dengan penulisan. Mereka semua mencipta nama dengan skop yang sangat kecil. Chong Wei hanya bermain badminton perseorangan. Khairul Fahmi hanya bermain dalam posisi penjaga gol. Irfan Khairi dikenali sebagai jutawan internet. Ramli Awang Murshid pula dikenali hanya dalam genre thriller. Apa yang saya nak katakan di sini, semakin kecil skop kelebihan seseorang itu, kita akan lihat kejayaannya.
                Saya lihat diri saya pula sebaliknya (ini blog saya, jadi sudah tentu saya akan bercakap tentang diri saya). Saya tiada satu pun kelebihan yang saya boleh gilap dan gilap sehingga berjaya. Ini kerana saya tergolong dalam kumpulan yang ‘mempunyai banyak kelebihan yang sederhana’. Mempunyai banyak kelebihan yang sederhana ini adalah pisau dua mata yang menikam diri saya sendiri kerana perkara ini menyebabkan saya tiada fokus, tiada dedikasi dan tiada obsesi.
                Apabila saya sudah menguasai sesuatu perkara (atau kelebihan), saya akan mula berasa jemu dan mencari perkara baru. Dan ini lebih buruk apabila saya juga mempunyai satu sikap mengikut-ngikut dan mudah belajar apa membabitkan perkara yang diminati.  
Bunyi entri kali ini seperti saya seorang manusia yang tidak bersyukur. Bukan itu sebenarnya tujuan saya. Malah saya sangat bersyukur dilahirkan sebagai seorang ‘saya’ walaupun tiada apa yang saya boleh dibanggakan dalam hidup saya setakat ini. Tetapi apa yang saya ingin katakan di sini ialah, kita perlu korbankan minat kita yang lain untuk memberi laluan kepada minat kita yang paling kita utamakan. Maksud ‘korbankan’ bukanlah bermakna lupakan terus. Tetapi cukup sekadarnya sahaja. Yang penting, obesi kepada minat kita yang utama perlu disemai dan digilap. ‘Obsesi’ adalah perkataan yang dicipta pemalas untuk orang yang dedikasi. Jadi tidak perlu takut apabila dilabel ‘obses’ oleh orang lain. Sekurang-kurangnya kita mempunyai sesuatu dalam hidup yang berbaloi untuk diobseskan. Dan oh ya, obses sentiasa lebih baik berbanding obes.
Stephen King mempunyai minat menonton wayang dan bermain muzik, tetapi beliau hanya menggilap obsesi beliau terhadap penulisan dan bukannya pengarahan filem atau pemuzik profesional. Johny Depp mempunyai kemahiran bermain gitar yang agak bagus, tetapi dia dikenali dengan lakonannya. David Bowie pula berbakat sebagai pelukis, tetapi memilih untuk menyanyi.
Dan saya? Bagaimana pula dengan saya? Oh, minat saya sangat banyak dan mengikut musim, biasanya. Selain menulis, saya juga suka melukis, mengambil gambar, bermain gitar dan drum, mengambil video, mengembara, membaca buku, bermain video games, menonton DVD dan jika ada kawan yang mengajak, saya tak akan lepaskan peluang untuk menonton wayang. Tetapi seperti yang saya katakan tadi, tiada satupun kegemaran saya itu yang boleh saya anggap sebagai obsesi. Lebih-lebih lagi obsesi yang membawa keuntungan.
Jadi saya sentiasa berharap – mungkin bermula hari ini – yang saya akan tumpukan minat saya terhadap penulisan sahaja (dan pembacaan, dua perkara ini tak dapat dipisahkan). Sudah tentu hati saya tidak akan setuju dengan keputusan ini. Ada ketikanya hati akan melonjak untuk berlatih gitar membawa lagu Gary Moore atau untuk melukis tanpa henti selepas membaca komik Frank Millar. Tetapi buat masa ini saya perlu fokus pada satu sahaja minat saya dan tukar minat ini kepada obsesi. Kerana saya yakin saya tak mampu untuk mengejar semuanya. Kerana saya yakin saya hanyalah seorang lelaki biasa.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...