5.1.11

Kasihannya menjadi rakyat Malaysia yang suka membaca

Tengoklah di TV, dengarlah di radio. Puak-puak yang bermati-matian mempertahankan ketuanan melayu tanpa segan silu bercakap dalam bahasa inggeris. Apabila ditanya soalan oleh wartawan cina atau wartawan india, secara automatik mereka akan menjawab dalam bahasa inggeris. Kenapa? Hendak menunjuk pandai orang melayu juga pandai speaking jugakah? Atau bimbang jawapan dalam bahasa melayu tidak difahami oleh wartawan tadi?

Apabila pemimpin sendiri seolah meletakkan benchmark bahawa bercakap dalam bahasa inggeris itu menandakan mereka adalah orang pandai, maka secara automatik rakyat akan berkata yang bahasa melayu adalah bahasa kelas kedua di tanah melayu itu sendiri! Kasihannya.

Apabila rakyat sudah memetakan di mindanya yang bahasa melayu itu bahasa kelas kedua (di malaysia, bukan di amerika), maka yang menjadi mangsa ialah orang-orang kampung yang tidak menggunakan bahasa inggeris dalam aktiviti sehariannya. Mereka ini ialah orang melayu yang berkeinginan untuk menimba ilmu, berkeinginan untuk belajar tetapi banyak bahan bacaan yang berkualiti hanya didapati dalam bahasa inggeris. Jadi sistem kapitalis ilmu pun bermula. Yang cerdik bertambah cerdik, yang bodoh bertambah bodoh. Namun perkara ini boleh di atasi jika kerajaan lebih giat memperkasakan industri terjemahan buku bagi faedah semua rakyat 1malaysia, bukan untuk orang melayu sahaja kerana sebagai bahasa pengantar di malaysia, saya tidak nampak kenapa bangsa lain tidak selesa membaca dalam bahasa melayu.

Dengan jumlah penduduk melayu yang hanya mencecah 60% dan daripada jumlah itu, berapa peratus sahaja yang suka membaca, penerbit buku memang tidak suka mengambil risiko untuk masuk dalam industri penterjemahan kerana bagi mereka, orang yang suka membaca secara automatiknya akan pandai berbahasa inggeris dan secara automatiknya akan membeli buku bahasa inggeris. Satu anggapan yang salah dari segi logiknya tetapi satu langkah yang betul dari segi keuntungan mereka.

Dalam kes ini, hanya PTS yang berhak diberi pujian. Tanpa bantuan dan tender dari kerajaan, mereka dengan giat menjalankan usaha menterjemah karya-karya luar untuk memandaikan rakyat 1malaysia. Orang yang suka membaca dalam bahasa melayu sekarang sudah mempunyai lebih banyak pilihan berbanding 10 tahun dahulu ketika satu-satunya genre novel yang dibaca adalah 'Cinta tiga segi-yang mencairkan jiwa-menyakitkan mata'. Sekarang mereka sudah mengenali Sherlock Holmes dan sudah dapat membezakan antara John Grisham dan Rosyam Nor bahkan sudah mulai tahu yang Kotler itu sebenarnya nama orang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...