28.1.14

Akhir Januari. Jadi sempat lagi berazam.

BOLEH dikatakan saya berpuas hati dengan perjalanan hidup saya pada tahun 2013. Anak keempat saya lahir secara normal dan sihat walafiat pada bulan Febuari yang lalu. Dua buah cerpen saya diterbitkan Karangkraf dalam buku antologi cerpen mereka. Novel pertama saya (awal remaja), yang walaupun terpaksa dipotong pendek menjadi novella atau novellat, dalam proses akhir penerbitan Karnadya dan saya juga telah berhenti rokok selama setahun. Namun begitu saya masih lagi menghisap rokok elektronik yang walaupun tujuan asalnya adalah untuk berhenti merokok, saya juga menghadapi kesukaran untuk berhenti rokok elektronik! Tahun 2013 juga menyaksikan kamera DSLR saya (Nikon D40) rosak setelah berkhidmat selama 7 tahun.

Jadi untuk tahun 2014, saya ingin :

1) Berhenti terus hisap rokok baik analog mahupun elektronik
2) Saya rasa mungkin no.1 agak susah. Jadi saya akan gunakan perkataan 'kurangkan'.
3) Menulis sekurang-kurangnya sebuah cerpen sebulan walaupun tidak disiarkan ataupun sehampas mana sekalipun kualitinya.
4) Menulis sekurang-kurangnya sebuah novel dalam tahun 2014 walaupun tidak diterbitkan atau sehampas mana sekalipun kualitnya.
5) Melukis sekurang-kurangnya sekali sebulan tidak termasuk ketika mesyuarat.
6) Membaca sekurang-kurangnya satu juzuk al-Quran sebulan. Walaupun sedikit, tapi masih dikira realistik mengambilkira perangai saya yang pemalas ini.
7) Membaca sekurang-kurangnya 6 buah buku setahun. Walaupun sedikit (orang lain khabarnya target 50 buah buku setahun) tapi masih dikira realistik dengan faktor usia dan tarikan teknologi sekarang ini.
8) Menemani anak membuat kerja sekolah.

Buku yang saya baca pada 2013 :

1) Persepolis
2) Habibi
3) Blanket
4) Running With Scissor
5) Tokyo on Foot
6) Everything you need to know about graphic novel

Buku yang saya ingin baca pada 2014 :
1) The Shining (sedang baca)
2) Joyland
3) The Ocean At The End Of The Lane
4) Liars & Spy
5) Hatiku di Harajuku
6) 1Q84

Semoga tahun 2014 memberi saya keamanan dan rezeki.

17.6.13

Dari Pena Dua Wanita Iran



 NYLON Road dan Persepolis adalah dua buah komik (atau biasanya orang-orang perasan educated sekarang ni panggil graphic novel) karya dua wanita Iran. Saya beli Nylon Road ketika jualan Big Bad Wolf 2013 di Kuala Lumpur dan Persepolis pula saya pinjam.

Saya memang tercari-cari novel atau komik yang menceritakan serba sedikit tentang Iran. Saya tidak mengharapkan untuk mengetahui secara total laksana membaca sebuah ensaiklopidia. Tetapi cukuplah sekadar to have a glimpse tentang negara Iran, budayanya dan revolusinya.

Saya dapati, komik Persepolis lebih menepati ciri-ciri yang saya cari. Nylon Road lebih banyak menceritakan proses spiritual penulisnya dan saya juga tidak suka dengan nada penceritaannya. Parsua Bashi seolah-olah menyalahkan sekelilingnya atas apa yang berlaku terhadap dirinya. Marjane Satrapi pula saya lihat lebih terbuka dan tidak menyalahkan itu dan ini. Kedua-dua mereka walaubagaimanapun sangat membenci mullah walaupun mereka menyokong revolusi di sana.

Kedua-dua buku ini membuatkan saya ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang masyarakat Iran. Kedua-dua penulis ini dibesarkan dalam budaya atheis. Jadi agak pelik juga apabila ibu (dan nenek) mereka tahu bacaan solat. Adakah Iran lebih terbuka dalam mengamalkan kebebasan beragama? Tapi kenapa pula mereka terpaksa memakai tudung setiap masa kalau mereka benar-benar atheis? Namun saya tidak mahu menjadi judge disini. Saya baca dengan hati yang dibuka seluasnya. Saya hanya ingin menambah pengetahuan saya dan saya rasa cukup puas hati membaca dua komik ini. 

Selepas membaca dua komik ini, saya dapat merasakan simpati saya terhadap negara Iran semakin menebal. Iran ditentang dari segenap sudut. Dari amerika, dari rakyatnya sendiri yang masih rindukan Shah Iran (golongan tua bangka yang elit), dari rakyatnya sendiri yang menyokong revolusi tetapi tidak sukakan
pemerintahan Islam, malah, Iran juga ditentang dari orang Islam sendiri dari seluruh dunia atas alasan Iran adalah sebuah negara Syiah!

9.6.13

Kali Pertama ke Pulau

SEBAGAI seorang rakyat Terengganu, memang agak memalukan kerana saya tidak pernah ke pulau. Bukan tidak berminat untuk pergi, tetapi tidak pernah mempunyai peluang. Terlalu banyak yang difikirkan apabila perasaan ingin ke pulau itu timbul. Kos yang mahal, tiada rakan, takut mabuk laut dan macam-macam lagi perkara yang remeh-temeh.

Jadi apabila ada kawan saya dari Johor yang menyuarakan hasrat untuk ke pulau di Terengganu, terus saya ikut serta. Setelah berbincang dari segi kos dan kesesuaian, kami memilih untuk ke Pulau Kapas. Antara sebabnya :
  • Kami tidak bermalam di pulau, jadi Pulau Kapas lebih sesuai kerana jaraknya dengan darat lebih dekat dan bot yang ulang-alik lebih banyak (berbanding dengan Pulau Redang yang lebih jauh dan bot yang ulang-alik juga ada masa yang tetap)
  • Kos untuk ke Kapas lebih murah. (Tambang bot untuk pergi balik dalam RM30 dan sewa snorkling dalam RM25) Kalau tahu carannya boleh dapat murah lagi. Tapi memandangkan saya juga kali pertama ke sini, saya juga bayar dengan harga pelancong luar.
  • Lebih sesuai untuk merehatkan minda tak seperti pulau redang yang agak busy. 
  • Jarak rumah (sewa) saya dan jeti marang hanya 10 minit sahaja.
Kekuarangan Pulau Kapas :
  • Pulaunya lebih kecil berbanding Pulau Redang dan Perhentian. Jadi pergerakan lebih terhad.
  • Bukan Taman Laut, jadi kalau snorkerling memanglah tak setanding Pulau Redang yang diisytiharkan sebagai taman laut.
  • Tak meriah macam kat Redang
NAMUN begitu, bagi yang kali pertama berjinak untuk ke pulau, saya sarankan ke Pulau Kapas dahulu. Pantainya tidak kurang cantiknya. Snorkeling kat tepi pantai pun dah boleh main-main dengan ikan. Kosnya murah, jaraknya dekat, orangnya ramah. Dan sebagai rakyat Terengganu, saya menyesal mengambil masa yang begitu lama sebelum menjejakkan kaki ke pulau. Destinasi berikutnya? Pulau Redang dan Pulau Perhentian. InsyaAllah.


Adzha terus bergambar sebaik sahaja menjejakkan kaki di pulau.

Rafi mencuba goggles bertemankan ikan-ikan yang jinak di pantai

Saya dan Rafi (baju biru) bergaya ala artis 80-an ketika berehat sambil menunggu bot yang nak bawa kami snorkling.

Rafi dan Azha. On the way ke tapak snorkling
Adha (atas bot) memerhatikan Rafi yang show-off berenang tak guna life jacket.

Saya dan Adzha (memegang tali) sedang beramah mesra dengan ikan. Mungkin patut beli camera waterproof lepas ni :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...